Vol 1/2017: Notis Tuntutan

NOTIS TUNTUTAN

Definisi

Secara amnya, Notis Tuntutan (Notice of Demand) adalah satu permintaan oleh pihak yang menuntut kepada pihak yang lain supaya melaksanakan atau mengabaikan sesuatu tindakan atau perbuatan seperti membayar hutang yang tertunggak, memberikan salinan dokumen atau menarik balik artikel yang disiarkan di dalam surat khabar atau berita.

Notis Tuntutan dikeluarkan sebagai satu bentuk peringatan atau makluman terakhir kepada pihak yang dituntut bahawa jika gagal melaksanakan permintaan atau tuntutan tersebut, maka tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak yang dituntut atas sebab kegagalan/kecuaian/keingkaran mereka.

Siapa yang boleh mengeluarkan Notis Tuntutan?

Kebiasaannya, Notis Tuntutan ini disediakan oleh peguam yang dilantik mewakili pihak yang menuntut. Dalam kebanyakan keadaan, ia lebih berkesan dan efektif memandangkan peguam dapat meneliti fakta dan isu yang terlibat seterusnya menggunapakai​ undang-undang yang berkaitan dengan perkara yang dituntut.

Namun, individu, perkongsian atau syarikat juga boleh mengeluarkan Notis Tuntutan kepada mana-mana pihak berdasarkan fakta kes masing-masing.

Kandungan

Di dalam Notis Tuntutan, pihak yang menuntut akan menggariskan permintaan atau tuntutan beliau kepada pihak yang dituntut. Permintaan di dalam Notis Tuntutan adalah berbeza-beza mengikut fakta dan isu kes yang berkenaan.

Pihak yang dituntut secara lazimnya akan diberi tempoh tujuh (7) atau empat belas (14) hari untuk memenuhi tuntutan tersebut. Sekiranya gagal, pihak yang menuntut akan mengambil tindakan mahkamah yang bersesuaian bagi mendapatkan hak dan kepentingan beliau.

Tindakan yang perlu dilakukan apabila menerima Notis Tuntutan?

 Sekiranya tuan/puan telah menerima Notis Tuntutan, adalah disarankan supaya;

1)     Catatkan tarikh dan masa penerimaan;

2)     Baca dengan teliti segala isi kandungannya;

3)     Penuhi permintaan atau tuntutan dalam tempoh masa yang diberikan;

4)     Jika tidak bersetuju, sila jawab atau balas dalam tempoh masa yang diberikan; dan

5)     Dapatkan nasihat peguam untuk tindakan selanjutnya.

Perlu diingatkan bahawa sebarang tindakan atau kelakuan yang diambil oleh pihak yang dituntut setelah menerima Notis Tuntutan adalah material dan penting. Ia akan menjadi fakta yang relevan berkenaan sesuatu kes sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 8 Akta Keterangan 1950.

oleh: Muhammad Irfan Bin Abdullah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *