Vol 2/2017 : Perjanjian Usahasama

Perjanjian Usahasama atau Joint Venture Agreement (“JV”)

Perkongsian keuntungan (“profit sharing“) yang munasabah, adil dan kompetitif dalam sebarang transaksi perniagaan diidamkan oleh ramai pihak.

Secara ringkasnya, Perjanjian Usahasama atau JV melibatkan dua atau lebih pihak yang bekerjasama dengan melaburkan modal samada wang, kepakaran, tenaga kerja, produk, tanah, tempat perniagaan dan sebagainya bagi maksud mendapatkan keuntungan atau faedah yang maksima mengikut bahagian dan sumbangan masing-masing daripada usahasama ini.

Di dalam Perjanjian Usahasama atau JV ini, pihak-pihak akan memasukkan segala terma-terma yang dipersetujui berkenaan sesuatu transaksi perniagaan tersebut. Dalam banyak keadaan, Perjanjian Usahasama atau JV akan disediakan oleh peguam yang dilantik oleh pihak yang membuat cadangan atau memulakan usahasama tersebut. Manakala pihak satu lagi akan meneliti dan mengkaji Perjanjian Usahasama atau JV tersebut sebelum menurunkan tandatangan mereka. Perlu diingatkan bahawa setelah menurunkan tandatangan, pihak-pihak dianggap telah faham dan bersetuju dengan keseluruhan isi kandungan Perjanjian Usahasama atau JV tersebut melainkan dibuktikan sebaliknya.

Secara amnya, terma-terma biasa di dalam sesuatu Perjanjian Usahasama atau JV itu akan memasukkan perkara seperti berikut:

  1. Nama serta maklumat pihak-pihak;
  2. Perkara atau subject matter;
  3. Balasan;
  4. Kadar perkongsian keuntungan;
  5. Bentuk usahasama;
  6. Jenis modal/kepakaran;
  7. Skop tanggunjawab dan liabiliti;
  8. Tempoh masa;
  9. Undang-undang;
  10. Keingkaran/perlanggaran terma;
  11. Pembatalan; dan
  12. Kos penyediaan.

Terma-terma di atas adalah tidak terhad dan ianya subjektif berdasarkan kehendak dan persetujuan pihak-pihak mengikut keperluan dan bentuk usahama tersebut. Ia juga boleh berubah dari masa ke semasa walaupun setelah Perjanjian Usahasama atau JV ditandatangani dengan syarat kedua-dua belah pihak bersetuju dengan perubahan tersebut.

Sebagai contoh, Perjanjian Usahasama atau JV melibatkan pembangunan tanah bagi projek perumahan tidak sama dengan perlombongan bauksit atau pembekalan minyak diesel kepada kilang. Ini disebabkan pihak-pihak, perkara, balasan, kadar perkongsian keuntungan dan terma-terma lain adalah berbeza sama sekali antara kesemua Perjanjian Usahasama atau JV tersebut.

Justeru itu, adalah sangat penting bagi pihak-pihak memahami hak, tanggungjawab, liabiliti, kepentingan dan kedudukan mereka sebelum bersetuju dengan sebarang Perjanjian Usahasama atau JV seterusnya terikat dengannya. Ini kerana setiap Perjanjian Usahasama atau JV sebenarnya berbeza-beza dan tidak sama daripada satu sama lain.

Berdasarkan kajian kes kami, punca utama perkara ini berlaku antaranya disebabkan kegagalan dan keengganan pihak kepada Perjanjian Usahasama atau JV tersebut dalam mendapatkan nasihat undang-undang berkenaan Perjanjian Usahasama atau JV yang dipersetujui oleh mereka.

Akibatnya, terjadilah kes di mana Perjanjian Usahasama bagi projek pembangunan perumahan tidak dimulakan bertahun-tahun selepas ianya ditandatangani. Ini kerana tiada sebarang klausa yang jelas dan terperinci tentang tanggungjawab dan liabiliti pihak-pihak berkenaan tempoh perjanjian atau tarikh permulaan kerja kepada projek pembangunan perumahan tersebut.

Kita juga pernah digemparkan dengan isu melibatkan perlombongan bauksit yang mana tuan tanah mengalami kerugian yang teruk kerana keadaan dan struktur tanah mereka telah rosak setelah perlombongan dijalankan. Apabila dibaca dan diteliti kandungan Perjanjian Perlombongan yang berbentuk Perjanjian Usahasama antara mereka, jelas tidak wujud sebarang terma atau klausa berkenaan tanggungjawab bagi kontraktor perlombongan untuk membaikpulih atau mengembalikan keadaan atau struktur tanah kepada keadaan yang munasabah dan boleh diterima bagi maksud pertanian atau sebarang pembangunan lain.

Sebelum menandatangani Perjanjian Usahasama atau JV, tuan/puan disarankan supaya mendapatkan khidmat nasihat daripada mana-mana peguam bertauliah bagi mengelakkan hak, kepentingan dan kedudukan tuan/puan diprejudiskan atau terjejas akibat kegagalan atau salah faham tentang terma-terma di dalam Perjanjian Usahasama atau JV tersebut.

Kegagalan samada secara sengaja atau tidak dalam memahami terma-terma di dalam sebarang Perjanjian Usahasama atau JV boleh menyebabkan kerugian, keingkaran tanggungjawab selama bertahun-tahun, pembatalan tanpa sebarang sebab atau alasan yang munasabah serta risiko disaman di Mahkamah.

Oleh: Muhammad Irfan Bin Abdullah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *