VOL 3/2017: PENGURUSAN HARTA PUSAKA DALAM ISLAM

PENGURUSAN HARTA PUSAKA DALAM ISLAM

Kita pernah digemparkan pada awal tahun 2016 dengan kenyataan kerajaan bahawa terdapat lebih 60 billion harta pusaka yang belum dituntut. Adakah punca masalah ini disebabkan masyarakat tidak tahu cara untuk menguruskan harta pusaka?

Secara ringkasnya, terdapat pelbagai cara untuk pengurusan dan pembahagian harta pusaka di dalam Islam seperti:

  1. Faraid – faraid adalah pembahagian antara waris mengikut kadar dan kaedah yang telah ditetapkan oleh Islam. Bahagian pemilikan setiap waris adalah tetap dan tidak boleh berubah melainkan dengan keizinan waris tersebut. Sebagai contoh, bahagian untuk isteri sekiranya tiada anak adalah 1/4 dan sekiranya mempunyai anak, 1/8. Namun begitu, sekiranya kesemua waris bersetuju, maka pembahagian harta pusaka boleh dibuat tanpa mengikut hukum faraid.
  2. Wasiat – Setiap individu dibenarkan untuk membuat wasiat bagi tujuan kebajikan dengan syarat harta yang diwasiatkan tidak melebihi 1/3 daripada keseluruhan hartanya dan wasiat tersebut bukanlah kepada warisnya. Namun kedua-dua syarat ini boleh diabaikan sekiranya kesemua waris-waris bersetuju dengan wasiat tersebut.

Kedua-dua kaedah ini telah lama wujud dan diketahui oleh masyarakat Islam. Jadi kenapa masalah harta pusaka yang tidak dituntut tetap berlaku?

Pada pandangan kami, perkara ini antaranya lainnya berpunca daripada budaya Melayu yang menganggap perbincangan mengenai harta pusaka sebelum kematian adalah taboo ataupun kurang adab.

Akibatnya, anak-anak tidak tahu mengenai harta arwah ibu atau ayahnya. Atau lebih menyedihkan, tanah kubur masih merah, waris-waris sudah bergaduh dan tidak bertegur sapa semata-mata kerana isu pembahagian harta pusaka.

Oleh itu, kami amat menggalakkan semua ahli keluarga untuk berbincang tentang cara pengurusan harta pusaka. Tidak guna harta yang banyak sekiranya ia menjadi punca pergaduhan ahli keluarga atau menjadi harta terbiar tanpa dituntut.

Sekiranya perkara ini masih belum dibincangkan di antara ahli keluarga, maka anda perlu memulakannya. Antara perkara yang perlu dilakukan:

  1. Atur satu sesi perbincangan dengan kehadiran semua ahli keluarga atau waris-waris.
  2. Memaklumkan kepentingan pengurusan harta pusaka agar tiada pihak-pihak yang salah faham.
  3. Senaraikan kesemua harta yang ada, samada harta tak alih seperti tanah, rumah, kedai atau harta alih seperti simpanan Tabung Haji, ASB, saham syarikat, kereta, motorsikal, emas.
  4. Jangan lupa juga untuk menyenaraikan kesemua hutang samada dengan institusi seperti bank atau individu.
  5. Mendapatkan persetujuan kesemua waris untuk cara pembahagian harta-harta tersebut.
  6. Menyediakan satu surat persetujuan untuk pembahagian harta-harta tersebut dan ditandatangani oleh semua waris-waris.
  7. Surat persetujuan tersebut boleh dimatisetem dan diserahkan salinannya kepada waris-waris atau diserahkan untuk simpanan pihak ketiga yang dipercayai, seperti ketua keluarga atau peguam.
  8. Sekiranya berlaku penambahan atau pengurangan harta-harta tersebut, surat persetujuan itu boleh dipinda.

Sekiranya berasa tidak selesa untuk menguruskan sendiri, maka boleh mendapatkan bantuan pihak ketiga seperti peguam, penasihat pengurusan harta, ejen-ejen harta pusaka Islam dan lain-lain. Ini juga sebahagian daripada persediaan untuk mati dan amat digalakkan oleh Islam.

Oleh: Aiman As’ad Bin Mohd Ghani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *